BeritaHMetro

Penggera selamatkan 10 pelajar tahfiz daripada rentung

BUNYI penggera keselamatan di Pusat Tahfiz al-Quran Kampung Talang, Tanjung Ipoh, Kuala Pilah, mengejutkan 10 pelajar dan seorang tenaga pengajar yang sedang tidur dalam kejadian kebakaran awal pagi tadi.

Kebakaran kira-kira jam 1 pagi dipercayai bermula dari stor di bahagian belakang kediaman mereka yang menempatkan pakaian, permaidani dan barangan lama sebelum memusnahkan keseluruhan premis berkenaan.

Menceritakan detik cemas itu, pelajar pusat tahfiz, Muhd Hasyim Musyafir, 18, berkata kejadian berlaku begitu pantas menyebabkan mereka tidak sempat menyelamatkan barang berharga dan dokumen penting.

Katanya, ketika kejadian semua pelajar sedang tidur sebelum tiba-tiba seorang rakannya berusia 14 tahun tersedar selepas terdengar bunyi penggera keselamatan.

“Dia kemudiannya mengejutkan saya yang ketika itu asap mula memenuhi ruang bilik sebelum mengejutkan rakan lain.

“Api marak begitu pantas kerana struktur rumah diperbuat daripada kayu sehinggakan kami tidak sempat menyelamatkan barang berharga termasuk dokumen penting melainkan sehelai jubah yang tergantung berhampiran almari,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana kejadian itu tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa, malah keluarganya dari Gombak, Selangor, tiba di lokasi jam 10 pagi sebaik dimaklumkan.

“Api dipercayai bermula di stor rumah di bahagian belakang yang menempatkan baju , tikar lama dan beberapa barangan lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Menanti, Pegawai Bomba Kanan II Roslan Sahrani berkata, seramai 13 anggota serta dua jentera dari BBP Seri Menanti dan Kuala Pilah bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan jam 1.39 pagi.

“Setibanya di lokasi jam 1.58 pagi, kami mendapati api sedang marak dan operasi pemadaman tamat sepenuhnya jam 4.50 pagi.

“Siasatan awal mendapati, semua penghuni berjaya menyelamatkan diri sebaik menyedari kebakaran berhampiran bilik tidur mereka.

“Pasukan Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang berusaha menyiasat punca kebakaran,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Daerah Kuala Pilah, Syahrul Nizam Saleh termasuk beberapa agensi kerajaan lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Amanah Rakyat (MARA) Negeri Sembilan, Baitulmal, Angkatan Pertahanan Awam (APM) tampil menghulur sumbangan.

Syarhul Nizam berkata, warga pusat tahfiz ketika ini ditempatkan sementara di sebuah rumah penduduk kampung susulan pusat itu terbakar 100 peratus.

🔄

Show More

Leave a Reply

PENAFIAN: Azlibaloi tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.

Your email address will not be published.
Required fields are marked *

Back to top button
Close