BeritaBernamaSHarian

Super KIP kembali warnai pentas Moto3

PELUMBA negara Khairul Idham Pawi akan kembali semula mewarnai saingan kategori Moto3 musim depan bersama PETRONAS Sprinta Racing.

Pelumba berasal dari Perak yang juga dikenali sebagai Super KIP, memulakan kariernya Grand Prix dalam kelas Moto3 memenangi perlumbaan keduanya sebagai pelumba sepenuh masa pada 2016 sebelum memenangi satu lagi perlumbaan tahun sama.

“Saya gembira kerana dapat terus bersama pasukan ini untuk satu tahun lagi, kerana ia seperti satu keluarga besar. Saya maklumkan yang saya mahu kembali ke Moto3, dan mereka berikan satu peluang terbaik kepada saya.

“Ia sesuatu yang memang hendak saya lakukan, kerana pada 2016 saya hanya dapat berlumba satu musim dan saya masih mempunyai banyak perkara untuk dipelajari.

“Dengan berada bersama seorang pelumba berpengalaman seperti John, ia juga akan berikan kelebihan pada saya. Sasaran saya untuk 2020 ialah untuk mencuba yang terbaik dan berada dalam kumpulan hadapan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut kenyataan itu, sebagai sebahagian daripada proses pemulihan berterusan terhadap kecederaan yang saya alami di Grand Prix Sepanyol pada Mei tahun ini, KIP menjalani pembedahan buat kali ketiga pada Selasa di Pusat Perubatan Sukan Kuala Lumpur.

Rancangan pemulihannya sekarang ini adalah untuk persediaan bagi musim 2020, yang bermakna beliau tidak akan kembali ke Moto2 pada 2019 dan akan digantikan dengan Adam Norrodin bagi baki perlumbaan musim 2019.

“Pemulihan kecederaan saya mengambil masa lama, sesuatu yang menyedihkan. Saya tidak dapat berbuat banyak selain terus berusaha, namun berharap pembedahan terakhir ini akan membantu saya untuk pulih,” katanya.


Sementara itu, prinsipal pasukan Datuk Razlan Razali berkata, pasukan telah membuat keputusan yang terbaik selepas menganalisa pilihan yang ada bagi memberikan rawatan terbaik untuk kecederaan tangannya dan memberikan masa untuk pemulihan sepenuhnya berbanding meminta beliau untuk kembali berlumba Moto2 tahun ini.

“Dengan KIP kembali ke Moto3 tahun hadapan, beliau akan berada dalam situasi yang beliau pernah ada sebelum ini dan kita akan menyasarkan keputusan yang terbaik. Pada masa ini fokus untuk KIP ialah pulih sepenuhnya dan kami akan sokong beliau sepenuhnya.

“Untuk baki perlumbaan musim Moto2 2019, Adam Norrodin akan terus berlumba sebagai sebahagian daripada program pembangunannya,” katanya.

Pengarah pasukan Johan Stigefelt berkata, pasukan kini melihat kepada musim depan selepas mempunyai barisan pelumba yang kuat.

“Tentunya ia satu tahun yang sukar untuk KIP dan kami pada mulanya terlalu berharap yang beliau dapat kembali beraksi pada musim ini.

“Dengan hanya tinggal lima perlumbaan pada musim ini dan satu lagi pembedahan semalam, tidak masuk akal untuk meletakkan harapan beliau akan kembali ke Moto2 tahun ini.

“Untuk 2020, kami akan mempunyai barisan pelumba Moto3 yang kuat dengan KIP bersama John McPhee dan kami melihat kepada peluang prestasi yang akan ada tahun hadapan,” katanya.

Musim Moto3 2020 akan bermula pada Mac tahun depan dengan perlumbaan pembukaan di Grand Prix Qatar yang dijadualkan pada 8 Mac. – Bernama

🔄

Tags
Show More

Leave a Reply

PENAFIAN: Azlibaloi tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.

Your email address will not be published.
Required fields are marked *

Back to top button
Close