BeritaBHarian

1,183 kes rampasan barangan bernilai melebihi RM2.5 juta di Perak | Kes

GERIK: Sebanyak 1,183 kes rampasan barangan bernilai melebihi RM2.5 juta dilakukan di Perak, termasuk di kawasan sempadan, sejak awal tahun hingga semalam.

Kes rampasan mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan nilainya itu antara tertinggi di negara ini.

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Pencegahan) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya, Suhaimi Mat Sari, berkata kompaun yang dikutip dalam tempoh sama adalah sebanyak RM171,690 manakala denda oleh mahkamah berjumlah RM30,500.

“Rampasan yang dibuat tidak sahaja membabitkan kesalahan dilakukan di kawasan sempadan, malah ada juga di kawasan perindustrian.

“Kes sebanyak itu serta nilai rampasan sepanjang 2019 ini (di Perak) antara yang tertinggi di negara ini.

“Ini menggambarkan bahawa pihak peniaga masih kurang kesedaran terhadap kesalahan mengikut AKB 1961,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Taklimat Penguatkuasaan Bersama Agensi Penguat Kuasa Berkaitan Isu-Isu Bekalan di Kawasan Sempadan Negeri Perak di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah KPDNHEP negeri, Saifullizan Kamarul Zaman dan Ketua Seksyen Penguat Kuasa KPDNHEP negeri, V Ravichandran.

Suhaimi berkata, seramai 26 individu ditangkap dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini dengan nilai rampasan berjumlah RM34,040 kerana melakukan kesalahan membabitkan barangan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Pengkalan Hulu, dekat sini.

Katanya, antara pelanggaran dilakukan kebanyakannya membabitkan tindakan membawa keluar barang kawalan seperti diesel, petrol, gula dan minyak masak.

“Sebagai contoh, minyak masak yang dipaket di tempat kita (Malaysia) berharga RM2.50 berbanding nilai pasaran di sana (Thailand) RM4, jadi di situ sudah ada keuntungan,” katanya.

Jelasnya, penguatkuasaan juga akan memberi tumpuan di kawasan pelabuhan bertujuan membanteras kemasukan barang tiruan.

“Kebanyakan barang tiruan yang dibawa masuk dengan kontena ialah jersi pasukan bola sepak kelab ternama, jam tangan dan arak,” katanya.

🔄

Show More

Leave a Reply

PENAFIAN: Azlibaloi tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.

Your email address will not be published.
Required fields are marked *

Back to top button
Close