BeritaBHarian

Ujian poligraf di mahkamah perlu penelitian terperinci | Nasional

Oleh Siti Azila Alias

[email protected]

GEORGETOWN: Ujian poligraf boleh digunakan sebagai pembuktian kes di mahkamah, namun terserah kepada institusi kehakiman untuk menentukannya, kata Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Katanya, walaupun kaedah itu sudah lama digunakan agensi penguatkuasaan sebagai alat bantu siasatan dan dilihat berkesan dalam menyelesaikan siasatan bagi kes tertentu, penggunaan di mahkamah perlu dilihat secara menyeluruh.

Beliau menjelaskan peranan perlu dimainkan persatuan yang berkaitan termasuk bertemu pihak mahkamah bagi menjelaskan kewajaran menggunakannya di mahkamah.

“Banyak negara tidak menggunakan kaedah ini (poligraf). Justifikasi mereka ada asas tertentu dari aspek keterangan, sama ada pembuktian keterangan itu boleh diterima sepenuhnya atau tidak.

“Saya fikir jika hendak digunakan di sini (Malaysia), bergantung sejauh mana pihak mengendalikan ujian itu dapat mempengaruhi mahkamah dalam membuktikan sesuatu kes, tetapi sepatutnya ia (ujian poligraf) dibuat sebelum perbicaraan bukannya semasa perbicaraan,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas memberi syarahan perdana sempena Hari Integriti Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini, Abu Kassim berkata kredibiliti penguji poligraf juga perlu diambil kira dalam memastikan kesahihan ujian kerana hanya mereka yang bertauliah layak untuk mengendalikannya.

Hari Integriti USM 2019 diadakan dengan kerjasama antara Unit Integriti USM bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Alumni Bekas Pegawai SPRM dan Yayasan Pencegahan Anti Rasuah. Turut diadakan forum bertajuk ‘Impak dan Implikasi Rasuah Terhadap Negara’.

USM menerusi Unit Integriti juga sentiasa mengambil langkah proaktif untuk memantapkan integriti dalam kalangan warganya melalui pelbagai inisiatif antaranya Program Rakan Integriti Universiti, Ikrar Bebas Rasuah, Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) selain penganjuran kursus dan taklimat.

Yang turut hadir, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang, Datuk Wan Ramli Wan Abdullah.

Poligraf adalah alat merakam pelbagai gerak balas fisiologi secara serentak seperti gerakan gelombang nadi, pernafasan dan tekanan darah. Menerusi ujian itu, gerak balas fisiologi subjek dianalisis untuk mengesan sebarang pembohongan berdasarkan soalan dikemuka oleh pakar.

🔄

Show More

Leave a Reply

PENAFIAN: Azlibaloi tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.

Your email address will not be published.
Required fields are marked *

Back to top button
Close